SHAH ALAM: Polis menahan 58 individu dan menumpaskan sindiket penipuan dalam talian beroperasi menggunakan pusat panggilan menerusi sembilan serbuan berasingan di sekitar Selangor dalam tempoh seminggu bermula 20 Oktober lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata operasi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor dengan kerjasama beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) termasuk Serdang, Subang Jaya, Ampang Jaya, Sepang, Petaling Jaya, Kajang, Sungai Buloh dan Gombak.

Beliau berkata, mereka yang ditahan ialah 45 lelaki dan lima wanita warga asing serta lapan warga tempatan, berusia antara 20 hingga 50 tahun.

"Kesemua individu terbabit berperanan sebagai operator khidmat pelanggan untuk melakukan pelbagai penipuan dalam talian, antaranya penipuan pelaburan saham, love scam dan tawaran pekerjaan palsu," katanya.