Lima: Saintis menemukan spesies cicak baharu di Banjaran Andes Peru, menurut Muzium Sejarah Semula Jadi Universiti San Marcos pada Sabtu.

Cicak berkenaan berukuran antara enam hingga lapan sentimeter dan mempunyai warna berbeza mengikut jantina.

Cicak betina mempunyai tompok berbentuk empat segi di bahagian belakang, manakala cicak jantan mempunyai tompok serong serta sisik putih yang membantu haiwan itu menyamar dengan persekitaran berbatu.

Cicak berkenaan memakan tumbuhan dan artropod kecil termasuk labah-labah, kumbang, pepijat serta larva serangga.

Spesies baharu itu ditemukan pada ketinggian lebih 4,800 meter di wilayah Andes selatan Arequipa dan dinamakan Liolaemus archipensis.