KUALA LUMPUR: Genap 10 hari kehilangan insan tersayang, pelakon, Syafiq Kyle reda dengan pemergian ibu tercinta, Allahyarham Rohaya Sulaiman yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru tahap empat, baru-baru ini.
Menurut Syafiq, dia percaya ada hikmah di sebalik kehilangan tersebut, selain yakin bahawa kini hanya doa seorang anak mampu menjadi bekalan berharga buat arwah.
“Apa pun yang berlaku, saya reda dengan pemergian ibu. Saya percaya ada banyak hikmah yang baik di sebaliknya. Keberkatan seorang ibu dalam keluarga sangat besar. Sebagai ibu, sudah tentu dia sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya.
“Mungkin sekarang kami sudah kehilangan ibu, tetapi apa yang saya pegang ialah doa seorang anak untuk ibunya juga sangat besar nilainya. Jadi, sekarang giliran saya pula untuk terus mendoakan ibu,” katanya ketika ditemui di sesi temubual bersama pelakon filem BAGA: Esok Untuk Siapa?, hari ini.









