Kuala Lumpur: Padang bola sepak menjadi medan merapatkan ukhuwah apabila pengamal media dan warga Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur bertemu dalam aksi persahabatan sempena Hari Sukan Negara (HSN), semalam.
Perlawanan yang bermula jam 8 malam di Padang Arena Sukan Kuala Lumpur itu bukan sekadar menguji kemampuan pemain di atas padang, malah membuka ruang kepada dua pihak daripada bidang tugas berbeza untuk mengeratkan hubungan dalam suasana santai dan mesra.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Datuk Hamsha Injau berkata, aksi persahabatan itu berlangsung dalam semangat kesukanan, sekali gus menyemarakkan budaya hidup sihat dalam kalangan pegawai dan anggota jabatan.
Menurutnya, penganjuran itu turut menjadi platform memperkukuh hubungan strategik antara JIM dan rakan media, khususnya dalam memastikan penyampaian maklumat kepada masyarakat berlangsung secara beretika dan profesional.








