Beijing: Berbekalkan ilmu kejuruteraan yang dipelajari secara kendiri, seorang pempengaruh teknologi China berjaya merealisasikan imaginasi sains fiksyen dengan menghasilkan papan luncur terapung (hoverboard) yang boleh dinaiki manusia, lapor South China Morning Post.

Song Xingyu, 26, atau lebih dikenali sebagai "Amazing Ayu" di media sosial mencuri perhatian selepas memuat naik video dirinya menaiki ciptaan sendiri yang dibangunkan selama kira-kira dua bulan.

Pada 15 Oktober lalu, Song mempamerkan aksi itu ketika meluncur di Udara merentasi Sungai Yangtze dan kawasan pergunungan.

Rakaman berkenaan mencetuskan perbandingan dalam kalangan warga maya dengan aksi Tesla Roadster yang melakukan putaran di udara ketika pelancaran reka bentuk semula model itu di Amerika Syarikat pada tarikh sama.