Kuala Lumpur: Ketua Jurulatih skuad hoki lelaki negara, Brandon Carolan berpuas hati dengan persembahan anak buahnya ketika menewaskan Korea Selatan 3-1 dalam aksi Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 hari ini, namun mengingatkan pemain supaya tidak memandang mudah cabaran Bangladesh, esok.
Carolan berkata, kemenangan itu hadir menerusi persembahan terkawal dengan pasukan negara turut menunjukkan peningkatan dalam aspek pukulan sudut penalti dan bertahan ketika lawan mendapat situasi sama.
Katanya, beliau gembira melihat kesungguhan pemain untuk mendapatkan keputusan positif, selain menghormati pendekatan Korea Selatan yang membawa beberapa pemain muda bagi memberikan pendedahan di pentas antarabangsa.









