Kuala Lumpur: Atlet triatlon kebangsaan, Esther Joy Chen mengintai peluang untuk membuat penampilan dalam acara maraton pada Sukan SEA 2027 selepas muncul pelari wanita Malaysia terpantas pada Maraton Standard Chartered Kuala Lumpur, 4 Oktober lepas.
Esther, 22, mencatat masa tiga jam lima minit 22 saat (3:05:22) pada penampilan sulungnya dalam acara maraton, sekali gus meletakkan dirinya dalam senarai awal pemilihan bagi temasya dwitahunan itu yang akan berlangsung di Malaysia.
Beliau berkata, pencapaian itu menyuntik motivasi untuk terus meningkatkan prestasi, terutama dari segi persediaan fizikal dan mental, dalam usaha merealisasikan impian membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.
"Saya seorang yang optimistik. Saya suka meletakkan sasaran tinggi kerana saya percaya apa yang kita tetapkan dalam fikiran, kita boleh capai," katanya ketika menjadi tetamu program Lensa Wanita terbitan Bernama Radio bertajuk "Di Sebalik Garisan Penamat" di sini hari ini.










