KUALA LUMPUR: Olahraga Malaysia (MA) merancang untuk menganjurkan perlumbaan kelayakan maraton khas yang pertama pada April tahun depan bagi memilih wakil negara ke Sukan SEA 2027 di Malaysia.
Pemangku Presiden MA, Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata acara yang dianjurkan bersama Dirigo Events itu dijangka berlangsung di Putrajaya dan berpotensi menggunakan laluan yang sama seperti acara maraton Sukan SEA yang dijadualkan pada September 2027.
Wan Hisham berkata inisiatif itu bertujuan mengenal pasti pelari maraton terbaik negara menerusi proses pemilihan khas, di samping memberikan sokongan bagi membantu atlet meningkatkan prestasi mereka menjelang temasya dwitahunan berkenaan.
"Ini adalah inisiatif MA dengan bantuan sektor swasta, Dirigo dan perunding bebas untuk mengenal pasti pelari maraton terbaik. Kami merancang untuk menganjurkan acara kelayakan ini setiap dua tahun, selari dengan kitaran Sukan SEA," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat mengenai proses kelayakan di Wisma OCM, di sini hari ini.






