SENARAI Senarai akhir acara sukan yang bakal dipertandingkan pada Sukan SEA 2027 di negara ini dijangka dimuktamadkan seawal hujung bulan ini.Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) dan Sukan Para ASEAN 2027, Datuk Abdul Rashid Yaakub berkata, sebanyak 492 acara daripada 43 jenis sukan dirancang untuk dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu, namun jumlah tersebut masih belum dimuktamadkan sepenuhnya.Abdul Rashid berkata pihaknya kini giat menyediakan buku panduan teknikal bagi setiap jenis sukan yang akan dipertandingkan pada edisi ke-34 sukan itu."Apabila kita selesai (buku panduan teknikal) dalam tempoh dua atau tiga minggu ini, kita akan muktamadkan bilangan acara yang dipertandingkan bagi setiap jenis sukan."Insya-ALLAH kita jangka menjelang hujung bulan ini ataupun awal bulan November," katanya dalam temu bual bersama Bernama baru-baru ini.Abdul Rashid berkata, anggaran penyertaan keseluruhan atlet pada Sukan SEA 2027 nanti adalah antara 7,000 dan 8,000 orang berdasarkan 43 jenis sukan diluluskan sebelum ini.Bagaimanapun, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara itu berkata, jumlah penyertaan yang lebih tepat hanya dapat dikenal pasti selepas negara peserta mengemukakan pendaftaran atlet masing-masing menerusi sistem disediakan.Mengenai penginapan, beliau berkata, atlet dan pegawai kontinjen yang terlibat akan ditempatkan di hotel bertaraf tiga bintang dan ke atas, tanpa menggunakan konsep perkampungan sukan."Kita memberi keutamaan kepada hotel yang berhampiran dengan venue pertandingan kerana ini akan memudahkan persiapan untuk pengangkutan mereka," katanya.Sukan SEA 2027 yang melibatkan empat kluster utama meliputi Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September tahun depan. - Bernama