PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) baharu, Arrifin Mohd Ghani berazam memastikan Malaysia bukan sekadar mampu bersaing malah mencapai kejayaan membanggakan di laman sendiri pada Sukan SEA Kuala Lumpur tahun depan.
“Sebagai tuan rumah, kita bukan sahaja berharap untuk menang tetapi menang dengan cemerlang,” katanya yang menggantikan Jefri Ngadirin di kerusi nombor satu MSN berkuat kuasa semalam.
Jefri dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan menggantikan Arrifin dalam satu kenyataan media oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), semalam.
Dalam pada itu, Arrifin berkata, beliau tidak bercadang melakukan perubahan secara terburu-buru, sebaliknya mahu meneliti aspek pengurusan bersama pegawai kanan MSN bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan tanpa menjejaskan momentum prestasi sedia ada.






