Empat dekad dalam industri muzik bukan sekadar perjalanan seorang penyanyi membina nama, sebaliknya turut menjadi kisah tentang insan-insan yang bersama-sama mencorakkan sebuah legasi seni.

Bagi Ratu Rock Malaysia, Ella, pencapaian itu lebih bermakna apabila kejayaan yang dikecapi dapat dikongsi dengan mereka yang selama ini menjadi sebahagian daripada perjalanan kariernya.

Selepas menerima Anugerah Sri Wirama pada Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM25) pada 26 September lalu, Ella memilih untuk menterjemahkan penghargaan itu dalam bentuk yang lebih dekat di hati, iaitu meraikan individu dan komuniti yang menyumbang kepada kelangsungan perjalanan seninya sejak awal pembabitan dalam industri muzik.