ALOR SETAR: Kerajaan disaran menyalurkan pampasan kepada pesawah yang terjejas akibat kelewatan bekalan baja secara terus kepada penerima yang layak bagi mengelakkan ketirisan, selain memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran.

Pesawah yang juga Setiausaha Jawatankuasa Titian Kasih Bekas Kakitangan LPN, Mashitoh Abu Seman, 68, berkata, mekanisme penyaluran bantuan itu boleh dilakukan melalui agensi berkaitan yang mempunyai rekod pesawah.

Menurutnya, data yang dimiliki Padiberas Nasional Berhad (Bernas) boleh dimanfaatkan untuk mengenal pasti pesawah yang layak berdasarkan rekod subsidi, keluasan sawah dan maklumat berkaitan tanaman padi.

“Bernas mempunyai data lengkap dalam buku subsidi pesawah. Melalui rekod itu, kerajaan boleh mengenal pasti siapa yang benar-benar mengusahakan sawah dan keluasan tanah mereka, termasuk kerugian yang ditanggung pada musim ini akibat kelewatan baja subsidi.