KOTA BHARU: Kerajaan diminta campur tangan bagi menyelesaikan isu rakyat Kelantan yang berkahwin di Thailand selepas memasuki negara itu secara tidak sah melalui pangkalan haram.

Pengarah Urusan Firma Guaman Aniza Nazri Consultancy, Datuk Ahmad Nazri Minhat berkata, langkah itu penting bagi membolehkan status perkahwinan pasangan terbabit diselesaikan tanpa terus dibebani masalah pentadbiran dan perundangan.

Katanya, pasangan berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963, yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 jika sabit kesalahan.

“Jika peruntukan itu dikuatkuasakan, pasangan terbabit berdepan denda tinggi dan mungkin tidak mampu membayarnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.