Tawau: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan Mejar memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, bahawa emolumen bulanannya berjumlah RM7,290.51 dihentikan kepada RM0 selepas beliau gagal melapor diri ke Johor susulan arahan pertukaran dari Kontinjen Sabah.
Dennis anak Enit, 48, yang juga plaintif ketiga menerusi pernyataan saksinya dalam saman sivil berjumlah RM190 juta terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa pihak lain berkata, penghentian emolumen itu berkuat kuasa 27 Disember 2024 selepas beliau dibebaskan daripada pertuduhan membunuh seorang pemandu e-hailing, kira-kira tiga tahun lalu.
Saksi ke-12 plaintif itu merujuk Penyata Perubahan Mengenai Pendapatan Seseorang Pegawai (Borang Kew.8) bertarikh 21 Januari 2025 daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat yang menunjukkan emolumen bulanannya sebanyak RM7,290.51 dihentikan kepada RM0 semasa pemeriksaan utama oleh peguamnya, Rasrina Patrick T Rining di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos.









