Tokyo: Polis Indonesia sedang menyiasat 97 syarikat tempatan dan asing termasuk anak syarikat sebuah firma Jepun, berhubung dakwaan penglibatan mereka dalam kebakaran hutan yang masih berlaku di beberapa pulau di negara itu, menurut polis pada Khamis, lapor Kyodo News.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Negara Asep Safrudin berkata dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di wilayah Kalimantan Barat bahawa firma Jepun berkenaan yang dikenal pasti melalui singkatan PT MTI, bersama 21 syarikat asing lain, antara pihak yang sedang disiasat.

Polis meminta kerajaan membatalkan lesen perniagaan 23 daripada 97 syarikat berkenaan, kata Asep tanpa memperincikan identiti syarikat itu. Beliau berkata kebakaran hutan dan tanah berulang kali berlaku sejak awal tahun ini di kawasan konsesi milik syarikat berkenaan.