Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk segera menyelesaikan isu kesesakan perkhidmatan tren yang dikhuatiri merencatkan rutin harian rakyat.
Arahan itu menyusul sebagai maklum balas terhadap rungutan dikemukakan individu dikenali siti.anisahj di platform Threads, malam tadi mengenai situasi sesak di stesen tren.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengarahkan Rapid KL mengambil perhatian mengenai permasalahan itu bagi membolehkan penyelesaian segera dilaksanakan.
"Kerap kali terjadi (isu kesesakan perkhidmatan tren) dan ia pastinya merencatkan rutin harian rakyat. Kita (kerajaan) mesti lebih peka dan bertindak," kata Ahli Parlimen Tambun itu.






