London: Pengendali Manchester United, Michael Carrick berdepan tekanan semakin hebat menjelang kunjungan ke Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) esok, dengan perlawanan itu berpotensi menjadi peluang terakhir untuk menyelamatkan kedudukannya susulan prestasi hambar pasukan.

United kini menghuni tangga ke-16 liga, hanya satu mata di atas zon penyingkiran selepas gagal mencatat kemenangan dalam lapan perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan.

Lebih membimbangkan, Carrick turut berdepan ketegangan dalam bilik persalinan selepas mengambil keputusan mengetepikan kapten pasukan, Bruno Fernandes ketika kekalahan 0-3 kepada Bournemouth di Old Trafford, hujung minggu lalu.

Keputusan yang disifatkan Carrick sebagai pertimbangan berdasarkan keperluan taktikal itu bagaimanapun memakan diri apabila United gagal memberikan tentangan, sekali gus menyaksikan mereka terus merosot dalam carta liga.