IBARAT dendam sampai kiamat, pelakon senior Bollywood, Tanushree Dutta mencetuskan kontroversi apabila menyifatkan kematian aktor veteran, Nana Patekar, sebagai satu perkembangan positif dalam kehidupannya, susulan konflik yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Tanushree, 42, menerusi perkongsian dalam media sosial, meluahkan perasaan terhadap pemergian Nana yang meninggal dunia pada 8 Oktober lalu pada usia 75 tahun akibat serangan jantung di kediamannya di Goa, India.

Pelakon filem Aashiq Banaya Aapne itu menyifatkan Nana sebagai individu yang membawa pengalaman pahit dalam kehidupannya, terutama selepas dia tampil membuat tuduhan gangguan seksual terhadap aktor berkenaan pada 2018.

“Syaitan sudah mati dan semoga kehidupan saya kembali ke landasan yang lebih baik,” demikian antara luahan Tanushree yang mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.