KUALA LANGAT: Lebih 900,000 pelajar di seluruh Selangor bakal menikmati sarapan berkhasiat percuma secara serentak menerusi Mega Program Nutrisi Selangor (Nutrisel) pada pertengahan bulan ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta diberikan bagi menambah makanan antaranya roti dan susu.

“Inisiatif berkenaan melibatkan lebih 900 sekolah di seluruh negeri bagi memastikan murid mendapat makanan berkhasiat dan keperluan zat yang mencukupi. Insya-Allah, Mega Nutrisel akan dilaksanakan untuk satu hari.

“Kalau ada maklum balas baik daripada murid dan ibu bapa, kita akan pertimbang akan laksanakan program ini secara berterusan,” katanya selepas meninjau pelaksanaan Nutrisel di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Panglima Garang, di sini, hari ini.