MELAKA: MCA akan memastikan calonnya memberi saingan sengit di kubu kuat Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana dan Bandar Hilir dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong bagaimanapun mengakui ia bukan laluan mudah buat MCA untuk merampas dua kerusi DUN berkenaan.

"Saya rasa (PRN) kali ini adalah satu referendum terhadap kerajaan PH. Selepas hampir empat tahun berkuasa, sama ada rakyat puas hati dengan prestasi PH. Saya rasa ini sangat penting.

"Ini bukan laluan mudah. Dua kerusi ini, Kota Laksamana dan Bandar Hilir adalah kerusi majoriti Cina dan sudah secara tradisinya dikuasai DAP sejak dahulu. Tapi kita tetap berentap," katanya selepas mengiringi calon BN di pusat penamaan calon di Kompleks JAPERUN Klebang, hari ini.