JERTIH: Bermula mencari udang pusu sekadar untuk dijadikan hidangan keluarganya, pemuda di Kampung Limbongan dekat Kampung Raja, di sini kini tidak menang tangan menerima tempahan termasuk dari luar Terengganu yang ingin merasai keenakan spesies hidupan unik itu.
Mohd Azuan Mahadi, 31, yang sudah 11 tahun mencari hasil sungai seperti belut, siput sedut dan udang galah sebagai pendapatan utamanya berkata, minat terhadap udang pusu bermula sejak dia berkunjung ke Riau, Indonesia dua tahun lalu apabila disajikan hidangan udang pusu goreng bersama-sama sos tiram oleh rakannya di sana.
"Pengalaman kali pertama menikmati udang itu selepas dimasak rakan membuatkan saya tertarik dengan keenakan isi yang manis dan hampir menyamai rasa ketam nipah.








