SUBANG JAYA: Sebuah kilang penyembelihan ayam di Puchong didakwa menggunakan kaedah water bath stunning atau kejutan rendaman air berarus elektrik dipercayai memproses kira-kira 40,000 ekor ayam sehari.
Ayam yang dikenakan renjatan elektrik berkuasa 130 volt itu kemudian diproses sebelum diedarkan ke pasaran sekitar Lembah Klang termasuk kepada pengusaha restoran, pasar raya dan kedai runcit.
Timbalan Pengarah (Gerakan/Operasi) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, hasil maklumat yang diperoleh kilang itu melaksanakan proses penyembelihan dan pemprosesan ayam yang tidak mematuhi syarat halal.
“Pasaran bagi ayam-ayam ini meliputi kawasan sekitar Putrajaya, Cyberjaya, Damansara, Puchong, Cheras dan Bangi,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan di sini hari ini.









