KUALA LUMPUR: Skuad futsal Selangor sekali lagi mengecapi detik manis apabila muncul juara Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) buat kali keempat.
Kejayaan itu hadir selepas skuad kendalian Edgar Baldasso menewaskan Pahang Rangers 2-1 dalam masa tambahan di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Selangor (KOMBES), malam tadi.
Syahir Iqbal Khan Akbar Khan muncul wira Selangor apabila meledak gol kemenangan ketika perlawanan hanya berbaki kira-kira 30 saat selepas jaringan yang dihasilkan Marlon Oliveira sebelum itu dipadam Razin Rahim.
Selangor memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan selepas mencatat kemenangan 5-2 dalam aksi final kedua, selepas tewas 3-4 pada aksi pertama di Kuantan, minggu lalu.









