PETALING JAYA – Selangor FC terus mengukuhkan momentum dalam saingan Liga Super apabila mencatat kemenangan keenam berturut-turut selepas menewaskan Star City 1-0 di Stadium MBPJ, sebentar tadi.
Jaringan tunggal Hugo Boumous pada minit ke-16 sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata buat skuad kendalian Kim Pan-gon yang terpaksa berhempas pulas mempertahankan kelebihan tersebut.
Cabaran Selangor bertambah getir apabila kapten pasukan, Chrigor Moraes dilayangkan kad merah pada minit ke-81 selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Bagaimanapun, skuad Gergasi Merah berjaya bertahan sehingga wisel penamat untuk memastikan rekod kemenangan sempurna dikekalkan apabila mengutip 18 mata maksimum selepas enam perlawanan.








