Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin berkata, UNHCR masih proses tunggakan permohonan daftar pelarian, walaupun Jemaah Menteri arah proses itu digantung. (Gambar EPA Images)KUALA LUMPUR: Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang dilihat masih mendaftarkan pelarian, walaupun terdapat arahan Jemaah Menteri supaya proses itu digantung.

Beliau berkata, walaupun kerajaan telah mengarahkan penggantungan tersebut pada Julai sementara membangunkan sistem pendaftaran pelarian sendiri, jawapan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) menunjukkan UNHCR masih memproses tunggakan permohonan.

"Siapa yang berkuasa di negara ini sekarang ini? Kabinet buat keputusan UNHCR mesti hentikan pendaftaran pelarian baharu," katanya semasa perbahasan peringkat jawatankuasa bagi peruntukan Kementerian Luar di Dewan Rakyat.