Beberapa tahun lalu sektor perseorangan badminton wanita pernah dianggap paling menarik berbanding sektor-sektor lain kerana pemenangnya tidak boleh diduga tetapi tidak kini apabila dominasi sang ratu dari Korea Selatan An Se-young bagai tidak boleh dihentikan.

Dengan kemenangan Terbuka Perancis baru-baru ini, Se-young membuktikan dirinya terlalu kebal di sektor perseorangan wanita badminton apabila menang 50 perlawanan secara berterusan!

Terdahulu, seminggu sebelumnya di Terbuka Denmark, wanita yang pernah menjadi anak didik jurulatih dari Malaysia, Wong Tat Meng itu sudah pun mencipta sejarah sebagai pemain perseorangan wanita paling banyak meraih gelaran antarabangsa dengan 47 gelaran setelah mengatasi legenda Indonesia, Susi Susanti dengan 46.