Putrajaya: Keputusan rayuan akhir pendakwah selebriti Da'i Syed untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan kerana merogol tujuh tahun lalu atau dibebaskan sepenuhnya akan diputuskan Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah, dijadualkan bersidang bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid bagi mendengar rayuan akhir Da'i Syed atau nama sebenarnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31.

Syed Shah Iqmal yang memakai jubah berwarna putih dan ditemani isterinya, Hana Ismail tiba di mahkamah pada jam 8.55 pagi.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019 lalu.