TANJONG MALIM: Ekosistem pembangunan keusahawanan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus membuktikan keberkesanannya apabila syarikat terbitan Mahasiswa (Spin-off), BizzCare Resources dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Program University to Community (UTC) 3.0, sekali gus menyapu bersih empat anugerah utama yang dipertandingkan dalam program tersebut.
Kejayaan yang diraih di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 29 Oktober 2026 itu menyaksikan BizzCare Resources membawa pulang geran keseluruhan bernilai RM9,500 menerusi empat kategori, iaitu Projek Terbaik Keseluruhan (RM4,000), Pembentangan Terbaik (RM2,500), Anugerah Emas PUNB (RM2,000) dan Komuniti Terbaik (RM1,000).
Pencapaian itu mencerminkan keberkesanan ekosistem Pusat Teknousahawan Universiti (PTU) UTHM dalam membangunkan syarikat mahasiswa melalui sokongan menyeluruh yang merangkumi bimbingan inkubasi, pembentukan model perniagaan mampan, fasilitasi dana dan pemantauan mentor akademik.









