KUALA LUMPUR: Public Bank Bhd merangka Program Sukuk Murabahah bernilai RM20 bilion yang memberikannya fleksibiliti untuk menerbitkan sukuk senior dan/atau sukuk subordinat dari semasa ke semasa.
Menurut bank itu, menerusi Public Investment Bank Bhd (PIVB), pihaknya telah mengemukakan maklumat yang diperlukan dan dokumen berkaitan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini, seiring dengan Garis Panduan SC mengenai Produk Pasaran Modal Tidak Tersenarai di bawah Rangka Kerja Serah dan Simpan.
"Program Sukuk Murabahah itu mempunyai tempoh matang selama 30 tahun bermula dari tarikh terbitan pertamanya," jelas Public Bank dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Menurut kenyataan itu, RAM Rating Services Bhd telah memberi penarafan jangka panjang awal AAA dan AA1 masing-masing kepada sukuk murabahah senior dan sukuk murabahah subordinat.









