KUALA LUMPUR: Industri sawit perlu mempergiat langkah pencegahan kebakaran dan sentiasa siap siaga bagi melindungi masyarakat serta alam sekitar daripada ancaman jerebu, termasuk melakukan lebih daripada pematuhan kawal selia untuk menghasilkan impak positif.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie Bhd, Mohd Haris Mohd Arshad berkata industri sawit sering dipersalahkan berhubung kejadian kebakaran dan jerebu, walaupun punca sebenarnya adalah berbeza dan kewujudan titik panas semata-mata tidak membuktikan wujud salah laku.
Beliau berkata industri itu juga perlu menilai amalan masing-masing dan memastikan sebarang kesimpulan perlu dibuat berdasarkan bukti.
"Walaupun berdepan pelbagai kerumitan, kita perlu sentiasa ingat bahawa tanaman bukan punca masalah. Aktiviti manusia yang menjadi penyebabnya," katanya menerusi ucapan penaja utama bertajuk "Greater Possibilities, Rooted in Responsibility" pada Sesi Meja Bulat Minyak Sawit Mampan (RSPO) Persidangan Meja Bulat 2026 (RT2026) di Jakarta, Indonesia semalam.









