Hulu Klang : Bimbang terus dilupakan peminat selepas jarang muncul di televisyen mahupun layar perak, pelakon veteran, Norlia Ghani, 78, kini aktif menghasilkan kandungan di platform TikTok.
Menurut Norlia, dia meluahkan rasa terharu apabila masih dihargai pihak industri, terutamanya selepas sumbangannya dalam industri seni masih diingati Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
"Kadang-kadang bila dah lama tak keluar televisyen (TV), filem, orang lupalah, kan? Tetapi hari ini (semalam), saya berterima kasih apabila FINAS memberi penghargaan.
"Jadi hari ini, diberi penghargaan tu dikira satu, orang masih ingat lakonan kita selama hari ini, masih ingatlah Norlia Ghani ini," katanya ketika ditemui di program Tribute Penghargaan Tokoh Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia (FFM) ke- 35, di sini, semalam.









