PETALING JAYA: Kerajaan memberikan diskaun tol 50 peratus selama dua hari, iaitu pada 6 dan 7 November ini, sempena sambutan Deepavali.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, diskaun itu bermula pukul 12 tengah malam pada 6 November dan berakhir pukul 11.59 malam pada 7 November.

Katanya, diskaun itu melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol serta kenderaan Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, diskaun itu tidak terpakai di dua plaza tol sempadan negara, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura (Linkedua).