Kuala Lumpur : Program Rentak Budaya melabuhkan tirainya Ahad lalu dengan pengisian penuh bermakna menerusi penyerahan sumbangan wang tunai daripada Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) kepada 20 artis veteran tanah air.
Inisiatif keprihatinan yang disampaikan oleh Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac bersama Presiden SENIMAN, Datuk Zed Zaidi itu bertujuan membalas jasa serta pengorbanan penggiat seni yang lama mencurahkan bakti.
Antara anak seni veteran yang diraikan termasuk Abon, Zaiton Sameon, Ebby Saiful, Yank Kassim, Shahriza Mahmud, Rahim Kidol dan Norly Tamam.
Menurut Zed Zaidi, Rentak Budaya bukan sekadar platform memperkasakan seni dan budaya, sebaliknya menjadi ruang murni untuk memastikan kebajikan warga seni terus terbela.









