KUALA LUMPUR: Anak syarikat tidak langsung milik penuh Tanco Holdings Bhd iaitu Tanco Builders Sdn Bhd (TBSB) memperoleh kontrak bernilai RM700 juta bagi membina kompleks gudang perindustrian di Pulau Indah, Klang, Selangor.

Tanco menyatakan, TBSB bersama CNECC Engineering (Malaysia) Sdn Bhd menerima surat lantikan daripada Jaroses Partners Sdn Bhd pada 5 November 2026 bagi menjalankan projek berkenaan.

"Kontrak itu diserahkan kepada konsortium yang dibentuk oleh TBSB dan CNECC Malaysia menerusi perjanjian konsortium yang turut ditandatangani pada 5 November 2026," menurutnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

TBSB dan CNECC telah memeterai perjanjian usaha sama diperbadankan pada 23 Disember 2025 bagi bersama-sama mendapatkan dan membida projek gudang logistik serta kemudahan penyimpanan berskala besar di Malaysia.