Pasir Mas: Kegiatan memproses dan menjual air ketum yang dipercayai beroperasi sejak dua tahun lalu terbongkar selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan semak Kampung Belukar, di sini, tengah hari semalam.
Serbuan menerusi Op Taring Mitra pada jam 1.15 tengah hari itu membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 25 dan 33 tahun serta rampasan 480 liter air ketum dan 127 kilogram daun ketum.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi dilakukan anggota Risik Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa bersama Risik Batalion 7 PGA Kuantan dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, hasil maklumat diterima.
Beliau berkata, selepas membuat pemerhatian selama 30 minit, pasukan serbuan menyerbu sebuah bangsal ketika dua lelaki sedang membuka tong polistirena dan mengambil bungkusan plastik mengandungi cecair kehijauan dipercayai air ketum.








