MASJID TANAH: Kenderaan menjadi antara keperluan penting calon pilihan raya bagi memudahkan pergerakan mereka berkempen dari satu lokasi ke lokasi lain.
Bagi calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, motosikal menjadi kenderaan utamanya untuk bergerak ketika berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Ketua Menteri Melaka dilihat lebih selesa menggunakan motosikal untuk menghadiri pelbagai program termasuk bersarapan bersama penduduk pada sebelah pagi dan ceramah politik pada waktu malam.
Malah ketika penamaan calon pada 31 Oktober lalu, penyandang kerusi DUN Tanjung Bidara itu turut mengetuai konvoi motosikal bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan penyokong ke pusat penamaan calon.









