redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kajang: "Tiada apa nak dimalukan kerana saya mencari rezeki halal dan bidang ini mengajar saya untuk menghargai apa yang ada dan memahami kesusahan peniaga lain."

Itu kata Dr Nik Nur Syazwani Ahmad Radzi, 38, atau Dr Wani yang sudah membuka klinik pergigian di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor tetapi masih gigih berniaga dengan menjual kira-kira 500 bungkus aneka nasi berlauk dan kuih-muih yang ditempah dari peniaga di Kelantan.

Menceritakan kisah itu, Dr Wani berkata, dia mula berniaga pada 11 September lalu di satu tapak di Jalan Bistari, di sini.

Katanya, kejayaan adik, Nik Muhammad Afiq Ahmad Radzi, 36, membuka restoran di Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang memberi inspirasi untuknya menceburi bidang perniagaan selepas 13 tahun berkhidmat sebagai doktor gigi.