PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) menerima pengiktirafan Perak dalam kategori Pemuliharaan Biodiversiti pada Asia ESG Positive Impact Awards 2026 menerusi projek Hamilton Biodiversity Park (HBDP).

Pengiktirafan itu mencerminkan komitmen kumpulan pemaju hartanah berkenaan dalam mengintegrasikan aspek pemuliharaan biodiversiti ke dalam perancangan dan pembangunan bandar.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan Sime Darby Property, Datuk Lai Shu Wei berkata, tanggungjawab syarikat hartanah bukan hanya tertumpu kepada pembangunan kediaman dan bandar, malah turut merangkumi pemeliharaan ekosistem semula jadi yang menyokong kehidupan komuniti setempat.

Katanya, menerusi Hamilton Biodiversity Park, kumpulan itu berhasrat menyumbang kepada usaha pemuliharaan biodiversiti yang seiring dengan pembangunan hartanah serta menyokong kelestarian alam sekitar.