PETALING JAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) memasang 197 kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi-lokasi strategik di seluruh negara bagi menjadi ‘mata’ dalam memantau situasi semasa sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Petra dalam satu kenyataan berkata, bagi menghadapi MTL 2026/2027 yang bermula pada 27 Oktober dan dijangka berakhir pada Mac 2027, perancangan awal, penyelarasan sumber dan kesiapsiagaan operasi menjadi keutamaan Petra bagi memastikan pengurusan risiko banjir dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh.
Katanya, Petra melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah memperkukuh kesiapsiagaan operasi menerusi langkah-langkah iaitu ramalan dan amaran banjir dengan melaksanakan pemantauan operasi 24 jam sehari sepanjang tahun menggunakan model ramalan banjir di 36 lembangan sungai, disokong oleh 2,237 stesen hidrologi telemetri yang merekodkan data hujan dan aras air sungai.






