KUALA LUMPUR: Chery Auto Malaysia menjelaskan kerosakan pada bampar hadapan dan roda yang tertanggal daripada sebuah kenderaannya dalam kemalangan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) semalam berpunca daripada pelanggaran dan bukan kegagalan komponen.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata, pihaknya menyedari kebimbangan orang ramai susulan gambar dan rakaman kemalangan berkenaan yang tular di media sosial.

"Kami ingin menjelaskan bahawa kerosakan pada bampar hadapan serta roda yang tertanggal adalah akibat kemalangan dan bukannya disebabkan kegagalan komponen kenderaan," katanya.

Laporan sebuah portal automotif mengenal pasti kenderaan terbabit sebagai Chery Tiggo Cross yang dilaporkan terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Myvi pada 7 November.