RAMALLAH: Kementerian Luar dan Ekspatriat Palestin semalam menggesa supaya tindakan segera serta bersepadu diambil untuk menyelamatkan nyawa di Semenanjung Gaza, sekali gus menangani krisis kemanusiaan dan alam sekitar yang kian meruncing menjelang musim sejuk.
Gesaan itu dibuat kepada masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi khususnya, serta pertubuhan kemanusiaan dan bantuan antarabangsa.
Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) melaporkan kementerian itu memberi amaran bahawa krisis yang sedang berlaku boleh bertukar menjadi bencana lebih besar dan meragut lebih banyak nyawa terutama dalam kalangan kanak-kanak, warga emas serta pesakit.
Menurut kementerian itu, genosid dan pencerobohan berterusan Israel terhadap Gaza telah memburukkan krisis kemanusiaan serta menghalang usaha pemulihan awal.








