Ramallah: Kementerian Luar dan Ekspatriat Palestin pada Sabtu menggesa masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi khususnya, serta pertubuhan kemanusiaan dan bantuan antarabangsa supaya mengambil tindakan segera dan bersepadu bagi menyelamatkan nyawa di Semenanjung Gaza serta menangani krisis kemanusiaan dan alam sekitar yang semakin meruncing menjelang musim sejuk.

Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) melaporkan kementerian itu memberi amaran bahawa krisis yang sedang berlaku boleh bertukar menjadi bencana lebih besar dan meragut lebih banyak nyawa khususnya dalam kalangan kanak-kanak, warga emas dan pesakit.

Menurut kementerian itu, genosid dan pencerobohan berterusan Israel terhadap Gaza telah memburukkan krisis kemanusiaan serta menghalang usaha pemulihan awal.