KUALA LUMPUR: Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye menyarankan Program Ketahanan Banjir Kuala Lumpur Lima Tahun dilaksanakan di bandar raya ini sebagai penyelesaian jangka panjang banjir kilat setiap kali hujan lebat.
Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, berkata penyelesaian itu perlu ada sasaran jelas, peruntukan kewangan mencukupi dan penilaian prestasi tahunan.
Katanya, Kuala Lumpur harus mencerminkan standard tertinggi perancangan bandar, pengurusan infrastruktur dan keselamatan awam, justeru masalah banjir tidak boleh sekadar dengan membina lebih banyak longkang.
Menurut Lam Thye, program itu perlu bagi menghapuskan banjir secara berperingkat yang boleh dicegah di lokasi panas yang dikenal pasti, selain mengurangkan kekerapan dan tahap keseriusan banjir kilat.








