TOKYO: Gempa bumi berukuran 5.7 magnitud melanda tengah Jepun pada awal pagi ini menyebabkan sekurang-kurang 20 orang cedera di wilayah Aichi, lapor Kyodo News yang memetik pihak berkuasa.

Agensi Meteorologi Jepun memaklumkan gempa bumi pada jam 1.04 pagi itu berpusat di barat Wilayah Shizuoka pada kedalaman kira-kira 40 kilometer (km) dan mencatat bacaan 5.0 pada skala intensiti seismik Jepun di Chita, wilayah Aichi.

Kerajaan menubuhkan sebuah pejabat perhubungan bagi menyelaraskan tindak balas terhadap gempa bumi itu.

Menurut agensi berkenaan, gempa bumi itu bagaimanapun tidak menimbulkan risiko tsunami.