BUKIT MERTAJAM: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 114 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi penguatkuasaan bersepadu di dua pusat hiburan di sini, dua hari lepas.

JIM Pulau Pinang dalam hantaran di Facebook memaklumkan, operasi di pusat hiburan di Jalan Keranji, Taman Mutiara dan Jalan Kulim, Taman Machang Bubok itu dilaksanakan dengan kerjasama JIM Putrajaya.

“Sebanyak 64 individu ditahan di pusat hiburan pertama membabitkan 44 wanita warga Thailand, 14 wanita warga Laos, dua wanita transjantina warga Laos, dua lelaki warga Myanmar dan masing-masing seorang lelaki warga Bangladesh serta Nepal.

“Dalam operasi di pusat hiburan kedua pula, sebanyak 50 individu ditahan terdiri daripada 29 wanita warga Thailand, 14 wanita warga Laos, seorang wanita warga Vietnam dan enam lelaki warga Myanmar,” menurut hantaran berkenaan.