KUCHING: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyuarakan keyakinan empat penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus mendapat kepercayaan dan mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13).
Penyandang yang dimaksudkan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Hamzah Ibrahim, Datuk Ibrahim Baki (Satok), Datuk Fazzrudin Abdul Rahman (Tupong) serta Datuk Martin Ben (Kedup) yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
“Hari ini saya tidak mahu bercakap banyak kerana apabila saya melihat wajah mereka (penyandang) yang hadir hari ini, saya tahu mereka ini tetap akan terus dipilih oleh pengundi,” katanya berucap pada majlis pelepasan konvoi bermotosikal Pemuda PBB di sini.








