Iskandar Puteri: Penyandang juara Johor Darul Ta'zim (JDT) menepati ramalan melangkah ke final Piala FA buat kali kelima berturut-turut selepas menang 6-1 ke atas DPMM FC dan layak dengan agregat 8-1 pada aksi timbal balik separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini sebentar tadi.

Sebaik babak pertama bermula, DPMM FC tampak beri tekanan kepada JDT bagi memburu gol untuk mengurangkan defisit jaringan namun anak didik McAllister masih belum mampu menewaskan benteng ampuh Harimau Selatan.

Sedar kesungguhan pasukan lawan cuba untuk memburu gol, JDT mula mengatur serangan dan pada minit kesembilan menerusi bola sepakan sudut Yago Cesar hampir menemui sentuhan penyudah namun bola tandukan Jairo da Sllva hanya sisi dari gawang gol.