KUALA LUMPUR: Kira-kira 400,000 murid hari ini mula menduduki Matriks Pembelajaran Tahun Empat kohort pertama secara serentak, membabitkan empat mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains serta Bahasa Cina atau Bahasa Tamil bagi Sekolah Jenis Kebangsaan.

Menurut Lembaga Peperiksaan (LP) Kementerian Pendidikan (KPM), setiap mata pelajaran diuji secara bertulis selama satu jam 15 minit, manakala bagi murid berkeperluan khas pembelajaran dalam arus perdana, masa tambahan menjawab antara 30 hingga 60 minit diberikan.

Berdasarkan laporan BERNAMA sebelum ini, pihak sekolah bertanggungjawab memastikan semua murid Tahun Empat didaftarkan untuk menduduki Matriks Pembelajaran Tahun Empat selain memastikan penyediaan kertas soalan secukupnya supaya tiada calon yang ketinggalan.