Bagi K Kunavathi, Deepavali bukan sekadar perayaan tetapi juga peluang berkongsi kebaikan dan kegembiraan dengan orang lain. (Gambar Malaysia Hindhudharma Mamandram)KUALA LUMPUR: Suasana pagi Ahad di dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Azad di Butterworth, Pulau Pinang, cukup meriah dengan suara sukarelawan dan aroma kuih-muih tradisional Deepavali yang baru disediakan.

Kira-kira 60 sukarelawan sibuk menyiapkan juadah istimewa bagi membawa sedikit kegembiraan kepada golongan yang mungkin tidak berpeluang meraikan perayaan itu seperti orang lain.

Program yang sudah menjadi tradisi sejak bertahun-tahun itu amat dekat di hati K Kunavathi, 56.

Walaupun kehilangan penglihatan sejak berusia 12 tahun akibat penyakit keturunan, keadaan itu tidak pernah menghalangnya daripada turut serta dalam aktiviti berkenaan.