MADRID: Barcelona mempamerkan kebangkitan hebat apabila menewaskan Atletico Madrid 2-1 hasil dua jaringan Fermin Lopez dalam aksi La Liga, awal pagi tadi, sekali gus melebarkan jurang di puncak liga kepada tiga mata.
Kemenangan itu membolehkan juara bertahan berkenaan mengumpul kelebihan tiga mata ke atas seteru utama, Real Madrid, yang menewaskan Valencia 3-0 pada Sabtu, manakala Atletico kekal di tangga ketiga dengan perbezaan dua mata di belakang Madrid.
Bagaimanapun, Barcelona terlebih dahulu dikejutkan apabila Giuliano Simeone meletakkan Atletico di depan pada minit ke-10 selepas menyudahkan hantaran Julian Alvarez dari jarak dekat.
Skuad kendalian Hansi Flick kemudian berusaha mencari gol penyamaan sebelum Lopez memanfaatkan bola muntah di luar kotak penalti untuk melepaskan rembatan kencang menewaskan Jan Oblak, sekali gus mengikat kedudukan menjelang rehat.








